Sunday, November 10, 2013

RAHSIA JENAZAH TIDAK DIMAMAH BUMI




SEGAMAT - Beberapa waris kepada jenazah yang ditemui dalam keadaan sempurna semasa kerja pemindahan di Tanah Perkuburan Islam Batu Badak, di sini menerima dengan reda apa yang berlaku.

Hamisah Kassim, 67, anak kepada Allahyarham Mehran Jaafar berkata, ibunya meninggal dunia tujuh tahun lalu ketika berumur 83 tahun dan tidak menafikan ketika hayat allahyarham seorang yang alim dan suka membantu orang tanpa mengharapkan sebarang balasan.

“Arwah ibu sentiasa menunaikan solat di awal waktu. Dia juga akan membaca Al-Quran setiap hari walaupun adakala sibuk dengan tugasnya menguruskan rumah tangga.

“Saya juga masih ingat sikap ibu yang tidak suka menyusahkan orang lain termasuk anak-anak dan ibu juga hanya akan bercakap dan bersuara mengenai perkara yang
dirasakan penting sahaja,” katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak berhampiran tanah perkuburan Islam Batu Badak, semalam.

Menurutnya, apa yang berlaku kepada jenazah ibunya itu adalah kehendak Allah SWT terhadap hamba-Nya dan seharusnya dijadikan sebagai renungan kepada mereka yang masih hidup.

Satu lagi jenazah yang ditemui dalam tidak reput adalah abang ipar Hamisah iaitu Ahmad Raof yang meninggal dunia ketika berusia lewat 60an lapan tahun lalu.

“Arwah Ahmad Raof merupakan bekas pesara di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua dan pernah menjadi wartawan sambilan. Tetapi, saya tidak dapat memastikan sama ada kedua-dua mereka menghafal Al-Quran atau tidak.

“Tetapi setahu saya mereka berdua memang selalu membaca Al-Quran hampir setiap hari dan dari apa yang saya dengar mereka yang menghafal Al-Quran jenazahnya tidak akan dimamah Bumi dan saya pun tidak dapat mengesahkan adakah mereka tergolong dalam golongan tersebut” katanya.



Bagi Jaafar Mohd Said (Gambar), 78, dia berharap jenazah yang ditemui dalam keadaan baik itu sebagai salah satu petanda bahawa jasad mereka dimuliakan oleh ALLAH SWT dan mengharapkan kesemua jenazah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

“Di sini terdapat kubur waris-waris saya dan di antaranya ialah kubur ayah saya (Mohd Said Ahmad) dan abang saya (Yusuf Mohd Said). Saya pun masih terkejut apabila mendapati kain kapan mereka masih berada dalam keadaan elok meskipun telah lama meninggal dunia.

“Arwah ayah meninggal ketika berusia 78 tahun dan abang saya pada umur 63 tahun. Sukar untuk saya mentafsirkan apa yang berlaku kerana semua ini merupakan urusan ALLAH SWT dan kita sebagai hamba yang beriman harus mempercayainya terutama perkara-perkara ghaib ini. Saya bimbang jika apa yang berlaku ini boleh mendorong kita kepada sifat riak dan takbur.

“Tapi apa yang boleh saya perkatakan kedua-dua waris saya ini semasa hayatnya memanglah seorang yang warak dan taat kepada ajaran agama serta selalu membaca Al-Quran jika mempunyai masa terluang,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Batu Badak.

Menurutnya, arwah bapanya itu merupakan bekas Penghulu mukim Gemereh dan sepanjang ingatannya bapanya seorang yang cukup penyabar dan jarang baginya untuk melihat bapanya itu marah.

Malah Mohd Said ketika hayatnya dikatakan suka menolong orang yang berada di dalam kesusahan dan sifatnya itu diwarisi oleh arwah abangnya yang kemudiannya menjawat jawatan sebagai Penghulu Mukim Gemereh bagi menggantikan bapanya itu

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...