Thursday, June 13, 2013

NIKMAT KEJAYAAN




Di bawah terik mentari. Seorang anak berlari-lari. Baju sekolahnya kini sudah dibasahi peluh. Seperti sedang mandi. Matanya membulat ke hadapan tanpa mempeduli keadaan sekeliling. Beg sekolahnya naik turun naik turun kerana goncangan badannya yang besar dan bulat. Setibanya di rumah, dia terus meluru masuk melalui pintu dapur yang diperbuat daripada kayu. Dilihatnya ayahnya makan bersama ibu serta adik-adiknya yang lain. Tanpa membisu panjang.

“Mak. Ayah. Saya dapat 1A!!!”

Wajahnya ceria bagaikan tidak percaya apa yang diperolehinya.

“Alhamdulillah”. Ibunya datang memeluknya disusuli oleh ayahnya. Pelukan yang penuh dengan kasih sayang.

Apakan tidak. Dia merupakan salah seorang yang sedikit lambat dalam pelajarannya berbanding dengan adik-adiknya yang lain walaupun dia seorang abang yang sulung. Sebelum ini seribu satu kegagalan yang hinggap pada dirinya. Sedih bukan kepalang. Matanya sering melihat adik-adiknya yang lain menerima hadiah di atas kejayaan mereka dalam akademik. Tika itu dia hanya mengintai dari celahan bilik. Itulah yang biasa dia lakukan tika ayahnya memanggilnya untuk melihat nikmat sebuah kejayaan.

Dahulunya, ketika pertama kali ayahnya memanggil untuk melihat drama tersebut, badan dia kaku berdiri. Sayu hati melihat drama yang begitu menyinggung perasaan kerdilnya. Hati kecilnya menangis meronta-ronta. Bukan itu sahaja, dia juga sering dipukul dan dibebel oleh ayahnya untuk menjadi seorang yang cemerlang. Tapi dia tahu, ayahnya sangat sayangkan dia. Sudah banyak kali dia berusaha namun pintu kegagalan menyambutnya. Hati mana ingin terus tinggal dalam lingkup kegagalan.   

Pernah dia bertanya kepada adiknya sendiri bagaimana untuk menjadi seorang yang berjaya. Walaupun malu, dia menebalkan mukanya untuk bertanya. Segala apa yang diajarkan oleh adiknya dituruti satu persatu. Namun gagal juga.

Pernah juga dia mati akal. Biliknya menjadi markas buasnya bagi melepaskan geram dan kemarahan. Airmata yang mengalir di pipi menjadi saksi kemurkaan yang bermaharajalela dalam dirinya. Akibat kelelahan itu, dia akan tertidur tanpa dia sedari.

Benar janji Allah SWT:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”. [surah Ar-Rad:11]


Hari ini menjadi saksi. Kini dia sudah berjaya mencapai apa yang dikehendakinya. Syukur yang tidak terhingga. Walaupun pada pandangan zahir insan lain bahawa itu merupakan sesuatu yang memalukan tetapi baginya itulah hadiah yang tidak ternilai buat kedua orang tuanya. Gembira si anak apabila melihat ibubapa tersenyum akan kejayaannya. Atas titik peluhnya sendiri.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...