Friday, December 14, 2012

JENGUK2 SAUDARA



Gambar Hiasang^^




Selain bertakbir, bertahmid dan berselawat serta berpuasa enam, terdapat satu lagi amalan yang begitu dituntut semasa menyambut hari raya iaitu amalan ziarah-menziarahi sesama ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan kaum muslimin.


Amalan ziarah-menziarahi mempunyai banyak hikmah dan kelebihan yang sangat bermakna bagi umat Islam terutama sekali dalam menghubung dan merapatkan ikatan persaudaraan sesama Islam. Agama Islam sangat menggalakkan umatnya agar senantiasa berusaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan tautan silaturrahim dan ukhuwwah.


Firman Allah s.w.t. “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara,maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu,dan bertaqwalah kamu kepada Allah agar kamu beroleh rahmat”  (Surah Al Hujuraat ayat 10.)


Bagi mencapai matlamat dan hakikat sebenar amalan ziarah-menziarahi ini terdapat adab-adab yang perlu difahami dan dihayati oleh setiap insan muslim untuk meraih keredhaan dan rahmat Ilahi.


Di antara adab-adab yang perlu diberi perhatian oleh umat Islam ketika melakukan amalan kunjung-mengunjung adalah seperti berikut :

Adab sebagai tetamu perlu memohon izin dan memberi salam sebelum memasuki rumah yang ingin dikunjungi sesuai dengan Firman Allah s.w.t. dalam surah An-Nur ayat ke 27 “


Wahai orang-orang yang beriman,janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumah kamu,sehingga kamu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya. Demikian itu adalah lebih baik bagi kamu agar kamu beringat”

  Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud :         

” Sesungguhnya manusia yang paling utama di sisi Allah ialah sesiapa yang memulakan salam”     (Riwayat Abu Daud)


Selaku tetamu adalah sangat digalakan agar berjabat tangan dengan tuan rumah sesuai dengan hadith Nabi s.a.w. riwayat dari Al Barra’ r.a. yang bermaksud “ Tidak ada dua orang muslim yang bertemu,lalu saling berjabat tangan,kecuali kedua-duanya diampuni Allah sebelum keduanya berpisah”


Walaubagaimanapun amalan berjabat tangan ini mestilah dilakukan mengikut lunas-lunas Islam. Ianya tidak sama dengan budaya barat dan orang bukan Islam yang bersalaman tidak mengira lelaki ataupun wanita yang bukan mahram kerana ianya amat dimurkai oleh Allah s.w.t.


Seorang tetamu tidak sepatutnya bebas melakukan apa sahaja di rumah orang lain kerana perbuatan itu akan mengganggu dan tidak disenangi oleh tuan rumah. Hal ini disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. melalui hadithnya yang bermaksud “Sesiapa yang memasuki majlis sesuatu kaum,hendaklah dia duduk di tempat yang telah disediakan kerana kaum itu(tuan rumah) lebih mengetahui aib rumah mereka”


Manakala bagi pihak tuan rumah, Agama Islam turut menggariskan beberapa adab yang perlu dipelihara dan dihayati oleh tuan rumah yakni dengan menghormati dan memuliakan tetamunya. Hal ini ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. melalui hadithnya yang bermaksud “ Barangsiapa yang beriman kepada Allah s.w.t. dan Hari Akhirat ,maka hendaklah ia memuliakan tetamunya.”


Dalam masa yang sama,tuan rumah juga disarankan agar menghidangkan jamuan yang terbaik mengikut kadar kemampuan. Memuliakan dan melayan tetamu dengan baik adalah amalan para Nabi dan Rasul terdahulu. Allah s.w.t. telah merakamkan kisah Nabi Ibrahim a.s. dan sikapnya yang sangat memuliakan tetamu melalui FirmanNya yang bermaksud “


Sesungguhnya telah datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Ibrahim,dengan membawa berita yang mengembirakan. Lalu mereka memberi salam dengan berkata : “Salam sejahtera kepadamu (wahai Ibrahim)” Nabi Ibrahim menjawab : “Salam sejahtera kepada kamu” Maka tidak berapa lama selepas itu, dia menghidangkan jamuan untuk,seekor anak lembu yang dipanggang.”


Ikatan ukhuwwah Islamiah yang erat dan kukuh di kalangan umat Islam merupakan elemen yang amat penting ke arah merealisasikan visi dan misi perpaduan ummah baik di peringkat nasional mahupun internasional.


Perpaduan ummah yang jitu di semua peringkat mampu mengangkat keunggulan martabat umat ini di persada dunia dalam era globalisasi yang amat getir cabarannya !


Satu trend masa kini dalam melaksanakan amalan berziarah adalah mengadakan  rumah terbuka. Namun perlu diingatkan bahawa dalam penganjuran majlis seperti ini ialah dengan menggelakkan dari terjebak dengan unsur pembaziran dengan berlebih-lebihan dalam mengadakan jamuan dan perhiasan rumah. Sesungguhnya Allah SWT benci dengan orang yang suka melakukan pembaziran.


Terdapat juga sebahagian kita khususnya golongan muda yang tidak gemar menjalankan aktiviti ziarah hatta bertandang ke rumah saudara mara. Mereka lebih suka terperap di dalam rumah menonton rancangan-rancangan televisyen yang menghidangkan cerita menarik. Malah mereka hanya berharap orang lain yang akan berkunjung ke rumah kita. Sikap ini perlu diubah kerana ia tidak menepati etika sambutan hari raya tersebut yang merupakan satu syiar Islam. Jika kita tidak gemar menziarahi saudara mara bagaimana kita dapat mengenali mereka. Lebih-lebih lagi dengan kekangan kerja membataskan aktiviti kita untuk mengenali saudara mara pada hari-hari yang lain.


Oleh:


Bahagian Pengurusan Dakwah
Jabatan Agama Islam Selangor


http://www.jais.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=650&Itemid=1

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...