Tuesday, March 6, 2012

KENAPA TIDAK SOLAT?

Assalamualaikum kepada semua sahabat-sahabat yang saya kasihi sekalian.Alhamdulillah, kali ini Insya Allah saya ingin berkongsi sedikit maklumat yang amat penting buat semua golongan. Baik kaya, baik miskin. Baik orang muda mahupun orang yang berusia. Saya ingin berkongsi tentang sebuah kajian yang telah dilaksanakan oleh seorang professor dari sebuah unversiti terkemuka di Malaysia. Kajian berkaitan pelaksanaan solat ini dilakukan dengan penuh kesabaran demi satu tujuan iaitu untuk mengetahui sebanyak mana ibadat solat dilaksana.


Banyak soalan yang ditanya kepada remaja Islam Malaysia tetapi hanya 3 sahaja yang paling penting nak dikongsikan di sini iaitu :

Menunaikan solat 5 waktu penuh sehari semalam – 28.7%

Puasa penuh bulan Ramadhan – 64.2%

Wajib menutup kepala untuk wanita – 69.3%


Jawapan yang paling ekstrim

Tidak pernah menunaikan solat 5 waktu – 3.5%

Tidak pernah puasa di bulan Ramadhan – 0.2%

Tidak wajib menutup kepala – 0.5%


Ya! Inilah hasilnya. Seperti kita lihat, soalan ini hanya diberikan kepada golongan ISLAM. Kenapa peratusannya tidak mencapai 100%? Kita tahu bahawa tidak baik kita menjaga tepi kain orang tetapi sekira beginilah keputusan yang timbul, apa kita masih lagi mahu menggunakan istilah itu? Sepengetahuan saya, kita ada hak untuk mengetahui semua perkara tentang orang di sekeliling kita, baik yang dikenali mahupun tidak kecuali dalam soal rumah tangga mereka. Apa salahnya sekiranya kita kadang-kadang bertanya kepada ahli keluarga, guru-guru dan sahabat-sahabat akan amalan yang mereka kerjakan pada hari itu. Secara jujurnya, saya sendiri selalu ditanya oleh abang senior saya:

“Bagaimana hari ni? Iman cakap apa?”

Insya Allah, secara spontan kita akan merenung dan muhasabah balik apa yang kita laksanakan sepanjang hari tersebut. Mungkin ada yang melabelkan soalan itu sebagai ‘soalan yang bodoh’, sekurang-kurang apabila kita dihisab nanti, kita ada sesuatu untuk dipersembahkan kepada Yang Maha Esa kelak.

Angka yang ditunjukkan di atas mungkin dianggap sedikit. Cuba kita kira dengan angka 27 juta orang? Kalkulator pun akan tayangkan nilai yang besar. Apa kita masih ingin ‘bermain-main’ dalam keadaan begini? Sahabat semua, kita tahu bahawa solat itu penting. Sekiranya kita tidak tahu solat, cepat-cepatlah kita pergi bertemu dengan para ‘alim untuk belajar. Tiada siapa yang akan memarahi kalian. Malah, hal ini menjadi tanggungjawab kepada sesiapa yang tahu untuk mengajar kepada kalian.

Mati itu sakit, mati itu tidak dapat kita jangkakan. Ada yang mati ketika memandu kereta. Ada yang mati ketika berjual beli. Cuba kita singkapkan kembali kisah Rasulullah SAW, saat baginda ingin meninggalkan dunia ini. Malaikat Jibrail pun cuba memalingkan pandangannnya daripada melihat wajah baginda. Walhal, malaikat maut telah pun menggunakan kekuatan yang paling lembut. Bayangkan sahabat-sahabat, Rasulullah SAW adalah kekasih Allah. Allah telah pun meredhai kakinya memijak ‘arasy saat peristiwa Isra’ Mikraj tetapi begitulah keadaanya ketika baginda ingin meninggalkan dunia ini.

Marilah kita memikirkan sejenak akan diri kita. Iman kita amatlah kurang berbanding iman para sahabat. Bagaimanakah saat sakaratul maut kita nanti. Atas dasar itu, saya bukan sahaja ingin menasihati sahabat-sahabat malah ini juga merupakan wadah bagi diri saya untuk membetulkan yang salah, menambahkan apa yang kurang. Kepada kaum adam, marilah kita bersama-sama kembalikan zaman kegemilangan agama kita seiring dengan kemajuan dunia ini. Kepada kaum hawa, jagalah diri kalian. Patuhilah suruhan Allah kerana kamulah rusuk bagi seorang adam. Adam tidak akan kuat tanpa kalian, dengan izin Allah.

Semoga apa yang dikongsikan ini dapat kita sama-sama mengambil manfaat darinya. Insya Allah. Yang baik itu hanyalah dari Allah, yang kurang adalah kelemahan saya sendiri.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...