Friday, March 2, 2012

HIKAYAT ASHRAF AZAHAN- 20 TAHUN DALAM BAHTERA HIDUP





Tanggal 3 Mac 1992, seorang ibu mengerang kesakitan syahidnya untuk melahirkan seorang hamba Allah ke muka bumi hijau ini. Si ibu ini di bawa ke sebuah klinik swasta oleh abang ipar dan mertuanya kerana suaminya mempunyai urusan kerja di bumi Kuala Lumpur. Mendengarkan perkhabaran tentang isterinya, si suami segera pulang ke negeri kelahirannya. Bertempat di Klinik An-Nisa’, Kota Bharu, Kelantan (dulunya Klinik Perkim), lahirlah seorang bayi lelaki seberat 2.4 kg ke alam realiti ini setelah 9 bulan berada di dalam kandungan ibunya. Dengan kuasa Ilahi, sesuatu yang jarang telah berlaku. Seorang pegawai perubatan telah mengesahkan bahawa si ibu ini masih mempunyai dua nadi. Setelah diperiksa dengan teliti, tiada apa yang berlaku. Setelah si ayah membawa seorang bidan ke klinik itu, bidan itu mengesahkan bahawa ada seorang lagi bayi di dalam kandungan si ibu. Hal ini telah mengejutkan semua pihak kerana sepanjang 9 bulan pemeriksaan dijalankan, mereka hanya mengesan seorang sahaja bayi di dalam kandungan si ibu.


Usaha semua pegawai perubatan tidak berhasil kerana mereka tidak dapat megeluarkan bayi tersebut. Mereka terpaksa membawa si ibu ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian kerana kekurangan kelengkapan pembedahan. Tepat pukul 12.05 tengah malam, dengan izin Allah SWT bayi kedua telah pun selamat dikeluarkan melalui pembedahan. Hakikatnya kini, mereka dilahirkan kembar dan mempunyai muka yang seiras. Genap 7 hari kelahiran, si ayah telah memberi nama kepada bayi kembarnya, Muhammad Ashraf dan Muhammad Aslam. Muhammad Ashraf bin Azahan adalah nama bagi bayi yang pertama seperti yang tercatat pada kitab lauh mahfuz.




Beginikah rupa anakku nanti? Comel macam abi dia...


Setelah meningkat usia 5 tahun, orang tuanya telah menghantarnya ke sebuah tadika, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) cawangan Kok Lanas bagi memulakan pengembaraannya dalam menimba ilmu pengetahuan. Sebaliknya telah berlaku. Dia mempunyai sikap yang amat berlainan dengan pelajar-pelajar yang lain. Dia amat manja dengan seorang ustazah sehingga dia tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian pada pelajarannya. Ustazahnya itu kini telah menjadi ibu saudaranya sendiri. Dalam kemanjaannya juga, dia telah berjaya dipilih untuk menganggotai kumpulan nasyid di tadikanya. Nasyid adalah hobinya sejak azali lagi. Mungkin ini disebabkan dia mewarisi sifat ayahnya yang suka mendengar irama nasyid. Pada masa itu kumpulan Raihan menjadi pilihannya dan diikuti kumpulan Hijjaz, Rabbani, Saujana dan lain-lain lagi.


Atas faktor jarak tadikanya dengan tempat kerja ayahnya, dia dipindahkan ke sebuah tadika yang baru, Tadika Qar pada usianya 6 tahun. Bermula di sinilah dia mula bergaul dengan sahabat-sahabatnya yang lain dan mula menumpukan perhatiannya dalam pelajaran. Pada hari penganugerahan di tadikanya, dia diminta untuk bernasyid sekali lagi tetapi pada kali ini bukan sahaja dengan sahabat-sahabatnya yang lain malah diberi peluang untuk berduet bersama kembarnya sendiri.


Setelah tamat pengajiannya di alam tadika, dia didaftarkan di sebuah sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan Kok Lanas pada usianya 7 tahun. Di sini, dia mula mengembangkan sayap untuk mendalami ilmu sehingga dia mendapat tumpuan oleh sahabat-sahabatnya yang lain. Pada masa itu, yang menjadi pesaing ketatnya adalah saudara kembarnya sendiri. Berebut kedudukan dalam kelas menjadi perlumbaan yang menarik pada masa itu. Sehinggalah pada peperiksaan akhir tahun, mereka berdua mendapat kedudukan yang kurang baik kerana ditewaskan oleh sahabat mereka yang berjantinakan perempuan. Ini tidak mematahkan semangat mereka untuk belajar kerana mereka antara nama yang diserap untuk memasuki kelas yang pertama. Begitulah mereka sehingga ayah mereka mendapat surat pertukaran tempat kerja ke Terengganu pada ketika itu mereka berusia lewat 9 tahun. Maka, di sinilah bermulanya pengembaraan mengenali sifat manusia luar telah bermula.


Ini merupakan pengalaman mereka yang pertama berpindah ke luar negeri. Di Terengganu, mereka tinggal di Taman Tok Jiring Utama, Kuala Terengganu. Di sini, Ashraf melanjutkan pelajarannya di Sekolah Kebangsaan Tok Jiring. Sekolah ini merupakan antara sekolah yang terbaik di Terengganu. Setelah berjaya menamatkan darjah emapt dengan jayanya, dia telah dipilih untuk mewakili pasukan nasyid sekolah selepas melepasi ujian suara yang diadakan di bilik tayangan. Ketika itu, dia baru sahaja berumur 11 tahun. Disebabkan minatnya terhadap bidang nasyid, pilihan lagu daripada kumpulan in-Team bergabungan dengan kumpulan nasyid yang lain yang dipilih oleh dirinya sendiri telah berjaya melayakkan dirinya untuk membarisi barisan utama dalam kumpulannya. Rezeki yang tidak disangkakan, kumpulan nasyid yang dinamakan sebagai Al-Ehsan ini bukan sahaja menjuarai pertandingan di peringkat zon, malah di peringkat daerah dan negeri. Hasratnya untuk bersama-sama dengan sahabatnya yang lain untuk mempersembahkan persembahan khas nasyid di hadapan sultan Terengganu tidak berkesampaian apabila dia terpaksa mengikuti ayah dan keluarganya untuk berpindah ke Dungun, Terengganu. Walaupun berasa sedikit kecewa tetapi dia memahami pekerjaan ayahnya sebagai pensyarah yang mana ilmunya itu diperlukan oleh para pelajar yang berada di situ.


Di Dungun, dia bersama keluarganya tinggal di dalam kuarters yang disediakan untuk kakitangan awam. Kegembiraan di lubuk hatinya terpancar apabila dia ditakdirkan bertemu semula dengan sahabatnya yang bertadika bersama-sama di Tadika Qari, Annasaie. Sahabatnya ini merupakan salah seorang anggota nasyid yang bersama-sama dengannya dalam persembahan nasyid sempena majlis akhir tahun tadika tersebut. Bukan itu sahaja, dia juga mudah mendapat sahabat-sahabat yang baru ketika berada di sini. Di sini jugalah merupakan tempat pertama kalinya dia mula bermain tenis. Permainan ini kini menjadi salah satu hobi yang digemarinya sehingga kini. Sekolah Kebangsaan Batu 7 merupakan destinasi yang seterusnya untuk dia menyambung pelajarannnya. Alhamdulillah, di sini dia juga telah mula kembali bersemangat untuk belajar. Galakan daripada sahabat-sahabatnya yang lain telah banyak memotivasikan dirinya. Semangat guru-gurunya yang diibaratkan seperti ayah dan ibunya sendiri telah berjaya mencongakkan pemikirannya dalam era pendidikan ini. Segala usaha dan berkat kerja keras, dia bersama sahabatnya telah berjaya menaikkan tahap kecemerlangan di sekolah itu. Dia mencatat keputusan yang sangat cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).


Dia melanjutkan pelajaran di tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Balai Besar, Dungun. Selepas dua minggu menadah ilmu di situ, dia ditawarkan untuk melanjutkan pelajarannya di salah satu sekolah premier di Terengganu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Intan Zaharah (AIZEK). Dia juga mendapat tawaran dari sekolah agama iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Abang (KAKA), Dungun. Kebetulan semua sekolah-sekolah ini berada dalam satu daerah yang sama. Tetapi dia membuat keputusan untuk melanjutkan pelajarannya di AIZEK kerana jarak sekolah tersebut dari rumahnya sekitar 7 kilometer sahaja. Di sini, dia didedahkan dengan kepentingan ilmu dan juga kokurikulum. Dia belajar cara untuk seimbangkan masa dengan baik. Saat itu tidak berkekalan juga kerana ayahnya sekali lagi ditukarkan ke tempat lain. Kini, ayahnya diamanahkan untuk menjadi pengetua sekolah di Sekolah Menengah Teknik Gerik, Gerik, Perak. Dia hanya mengikut sahaja tetapi dia tidak tahu bahawa Allah SWT telah menetapkan sesuatu yang bahagia akan berlaku ke atasnya.



Tepat bulan Mac 2006 iaitu ketika berusia 14 tahun, dia bersama keluarganya berpindah ke negeri Perak Darul Ridzuan. Mereka tinggal di sebuah rumah banglo yang disediakan khas untuk pengetua sekolah. Di sini dia melanjutkan pelajarannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 4. Kehadirannya di sekolah ini sedikit sebanyak telah merubah suasana di sekolah itu. Sokongan yang luar biasa dari pihak kepadanya menyebabkan dia bersemangat menaikkan nama sekolah tersebut dalam akademik dan kokurikulum. Di sekolah ini juga, dia menemui seorang guru yang dapat memotivasikan dirinya. Keperibadian gurunya yang biasa-biasa sahaja ini telah menambat hatinya untuk mengikut sifat keperibadian tersebut. Sehingga kini sifat itu masih lagi diikutinya. Dalam dia meniti titian ilmu, dia tidak lupa akan minatnya. Baru beberapa bulan dia bersekolah di situ, dia telah dipilih untuk mewakili sekolahnya dalam pertandingan nasyid peringkat daerah. Kali ini tugasnya lebih berat. Dia bukan sahaja menggalas amanah sebagai ketua dan vokalis, dia juga harus menghadapi saingan daripada anak-anak murid ayahnya sendiri. Walaupun gagal mendapat tempat, dia berpuas hati dengan apa yang telah lakukan. Dia berazam untuk memberi persembahan yang lebih baik lagi pada masa akan datang. Dia tidak mahu minatnya yang disemai sejak dari kecil terkubur disebabkan dia telah menghadapi kegagalan. Baginya kegagalan itu cuma suatu kerugian kecil yang masih lagi dapat ditampung.





Hari Kokurikulum di SMK Batu 4, Gerik, Perak


Pada hujung tahun 2006, ayah dan mamanya pergi menunaikan rukun Islam yang kelima iaitu ibadat haji. Dia terpaksa menjaga 7 orang adik beradiknya yang lain di kampungnya di Kelantan. Selama 40 hari, banyak dia pelajari lebih-lebih lagi dari segi penjagaan. Dia dapat merasai sebentar perasaan dan jerih perih menjaga ahli keluarga. Bagaimana dia terpaksa melayan adiknya yang merengek dan lapar pada waktu tengah malam. Berbekalkan nasihat daripada orang tuanya sebelum berangkat, dia kuat menjalankan amanah yang besar. Baik dari segi kewangan dan perancangan, semuanya telah dia lalui secara spontan tanpa mendapat latihan dari mana-mana tempat pada usianya baru 14 tahun.

Dia memulakan sesi persekolahan lewat 2 minggu. Semua itu tidak menjadi masalah baginya. Kepulangannya ke sekolahnya mendapat sambutan yang baik terutamanya daripda guru-gurunya dan sahabat-sahabatnya yang lain. Ada juga diantara guru-gurunya yang menganggap dia yang pergi menunaikan haji. Ibarat lembu punya susu, sapi dapat nama. Pada tahun ini, dia akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Dia telah pun melakar strategi untuk berjaya dengan cemerlang. Baik dari segi akademik mahupun kokurikulum. Usaha demi usaha telah dia lakukan. Ikatan akrab antaranya dengan guru-guru juga masih lagi kuat. Sehingga saat dua minggu sebelum PMR menjelang. Dia dikhabarkan bahawa datuk sebelah ayahnya telah meninggal dunia. Saat dikhabarkan dengan hal tersebut, hatinya pasrah menerima ketentuan Ilahi. Ini adalah kali kedua dia menghadapi dugaan ini selepas kematian nenek sebelah mamanya pada 1999 ketika dia berumur 7 tahun. Itulah antara insan yang dia paling sayangi. Mungkin disebabkan neneknya itu telah menjaganya sejak dia dari bayi lagi. Dia bersama keluarganya tetap bertolak pulang ke Kelantan walaupun saat itu baru pukul 3 pagi. Perjalanan meredah Lebuhraya Timur-Barat memang memenatkan. Dengan izin Allah, pada malam itu tiada komuniti gajah yang bertapak di lebuhraya pada ketika itu. Suasana sunyi, gelap dan dikelilingi hutan di kiri kanan jalan membuatkan mereka hanya mampu berdoa semoga selamat tiba di kampung. Setelah seminggu di kampung, dia dan keluarganya pulang semula ke Perak untuk memberi laluan kepadanya untuk menumpukan perhatian kepada peperiksaannya yang akan menjelang seminggu lagi.




Allahyarham Tok Ayah, HJ DAUD BIN ISMAIL


Setelah mencapai pencapaian yang membanggakan dalam PMR, dia ingin melanjutkan pelajarannya ke Maktab Sultan Ismail (SIC) di Kota Bharu, Kelantan. Saat dia ingin melangkah pergi, ramai gurunya memohon kepadanya untuk terus belajar di sekolah itu. Ada juga yang menawarkannya jawatan tertinggi dalam pentadbiran pelajar. Semua itu tidak dapat dia penuhi kerana atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Walaupun hatinya berat untuk dia berlalu pergi tetapi itulah kehidupan. Dia harus tempuhi segala pahit manis untuk melengkapkan dirinya sebagai insan yang diciptakan lemah di sisiNya.


Pada Januari 2008, dia telah pun berjaya meneruskan pelajarannya di SIC. Sebenarnya, dia turut ditawarkan untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang teknikal di sekolah Menengah Teknik Bachok, Kota Bharu, Kelantan tetapi dia menolaknya kerana masih ingin meneruskan pengajiannya di Perak. Setelah beberapa minggu berada di situ, dia mendapat berita bahawa keluarganya akan berpindah semula ke Kelantan. Di SIC, dia banyak belajar cara berdikari kerana inilah kali pertamanya dia tinggal di asrama. Macam-macam perangai pelajar sekolah yang dia lihat. Alhamdulillah, Allah SWT masih lagi melindungi dirinya ketika berada di situ. Selepas dua bulan berada di SIC, dia diarahkan keluar oleh tuan pengetua sekolah tersebut kerana menghadapi masalah pendaftaran yang tidak mengikut syarat. Walaupun beribu-ribu persoalan yang timbul dalam benaknya, dia tidak mampu berbuat apa-apa melainkan menerima apa sahaja yang telah ditetapkan walaupun pada ketika itu dia akan diserap ke kelas atas untuk menyambung pengajiannya selepas cemerlang dalam peperiksaan yang lepas.


Saat ini juga keluarganya diuji. Mamanya akan melahirkan adiknya yang baru pada ketika itu. Hal ini banyak menguji kesabaran terutamanya kepada seorang yang bernama ayah. Ayahnya terpaksa berulang-alik dari klinik dan rumahnya sejauh 20km hampir setiap hari, pagi, petang dan malam. Atas dasar ingin membantu ayahnya, dia sekali lagi mengambil tugas menjaga adik-adiknya di rumah. Pada ketika itu, dia masih belum lagi menyambung pengajiannnya di mana-mana pusat pengajian. Selepas hampir seminggu berada di rumah, ayahnya mendaftarkan namanya di jabatan pelajaran untuk dia meneruskan pengajiannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Kok Lanas yang terletak berhampiran dengan rumhannya di Taman Desa Petaling.


Selepas menamatkan zaman persekolahannnya, dia ‘terpilih’ untuk mengikuti Program latiham Khidmat Negara di Cherating, Pahang. Pengalaman ini amat mencabar buat dirinya. Dia bukan sahaja berhadapan dengan suasana diluar jangkaannya, malah dia terpaksa menguatkan keimanannya. Mental dan emosinya juga telah cuba dirobek oleh suasana yang mengekang. Dia terpaksa akur dengan peraturan yang telah ditetapkan. Selepas 2 minggu latihan, dia dikuarantinkan selama seminggu atas faktor kesihatan. Selepas diperiksa oleh pegawai kesihatan di situ, dia terpaksa dihantar ke Klinik Beserah untuk membuat pemeriksaan lanjut akan penyakitnya. Selepas beberapa saringan dilakukan, dia disahkan akan menghadapi penyakit denggi. Penyakit ini merupakan salah satu penyakit pembunuh di Malaysia. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaannya pada ketika itu. Dia terus dibawa ke hospital besar Kuantan, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menerima rawatan selanjutnya. Selepas ujian darah dilakukan, doktor telah mengesahkan bahawa dia menghadapi masalah kekurangan platlet dalam darahnya. Ujian darah ini dilakukan hampir setiap masa sehinggakan dia mula merasa sedikit perit dengan ujian itu. Sebelum ini dia belum lagi merasa bagaimana anggota tangannya sering dikeluar masuk jarum yang tajam. Dia hampir berputus asa dengan keadaan itu tetapi mungkin inilah ujian Allah untuk menguji keimanannya. Dia mula terfikir bagaimana perasaan orang lain yang adanya lebih tua daripadanya yang menerima rawatan yang lebih berat daripadanya. Oleh sebab itu, dia teruskan hatinya untuk dari katil rawatan, menuju ke surau yang berdekatan untuk solat.


Inilah pengalaman yang pertama kalinya dia solat dengan jarum yang masih terlekat pada tangannya. Doa dipanjatkan kepada Ilahi agar dipanjangkan umurnya untuk dia lebih mengenali lagi alam ciptaan-Nya ini. Selepas 3 hari menerima rawatan, dia dibenarkan keluar tetapi dia masih lagi di bawah jagaan pegawai kesihatan. Tempoh kuarantinnya juga telah dilanjutkan lagi kepada 1 minggu. Alhamdulillah, sesudah tamatnya tempoh kuarantin, akhirnya dia dapat meneruskan lagi latihan di situ. Beberapa hari kemudian, dia mendapat berita yang dia sudah di terima masuk ke Program Matrikulasi 2010/2011 di Kolej Matrikulasi Selangor (KMS), Banting, Selangor. Setinggi kesyukuran dia panjatkan kepada yang Maha Esa.





PLKN di Kem Cahaya Gemilang, Cherating, Pahang


Dia mula mendaftarkan diri ke KMS pada awal bulan Mei 2010. Dalam program ini, dia mengambil bidang Sains Fizikal yang meliputi subjek Fizik, Kimia, Matematik, Dinamika, Kokurikulum dan Pendidikan Islam serta Bahasa Inggeris. Sepanjang pengajiannya di sini, dia telah dipilih sebagai Ketua Kelas F3P5, Fasilitator untuk Program Chemistry: Share n Care, Instruktor Kelab Kecergasan dan Ahli Lajnah Penerbitan dan Penyiaran ISIMAS. Banyak pengalaman yang dia perolehi sepanjang di sini. Segala ilmu yang diperolehinya, dia laksanakan dengan penuh teliti. Dia juga tidak terlepas dengan mengikuti program-program menarik yang telah dianjurkan. Dalam menggalas pelbagai tugas di bahu, dia akan meluangkan sedikit masa pada waktu petang untuk bermain tenis bersama sahabat-sahabatnya yang lain. Sebelum dia menamatkan pengajiannya di sini, dia bersama-sama sahabtnya menyertai pertandingan nasyid. Kumpulan ini bernama As-Syabab. Pada asalnya dia hanya menanam niat sahaja untuk masuk ke dalam pertandingan itu. Disebabkan tiada kategori solo diadakan maka dia hanya mampu melihat sahaja iklan yang dipaparkan di masjid indah As-Sufi. Dengan kuasa Allah, baru sahaja dia melangkah masuk ke biliknya, sahabat sebiliknya menawarkan tempat untuknya kerana kekurangan anggota dalam kumpulan mereka. Kgembiraan hati dan keceriaan wajah terselah secara automatic pada wajahnya. kini, dia kembali ke pentas nasyid setelah hampir 5 tahun dia menunggu saat yang idah itu. Walaupun kumpulannya sekadar di tangga keempat, mereka tetap berbangga dengan pencapaian pertama mereka. Bagi mereka itulah rezeki yang setimpal yang Allah berikan walaupun mereka sanggup meredah redup tengah malam untuk berlatih.




Menikmati mentari panas KMS




Sebelum sesi fotografi




Hari terakhir di KMS bersama Haziq dan Shahirul


April 2011 merupakan tarikh terakhir dia di KMS. Banyak pengalaman yang tidak dapat dia lupakan. Hampir setahun dia bertempur di laman matrik, akhirnya dia selamat tiba di landasan akhir. Setingg syukur dipanjatkan kepada Ilahi. Pada September 2011, dia mendapat tawaran melanjutkan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam bidang Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Automotif). Setelah berehat agak lama di rumah, dia terpaksa mengerah kembali tulang belulangnya untuk bekerja keras di medan menara gading ini. Sehingga kini, dia masih lagi dapat melanjutkan pengajiannya walaupun menghadapi liku pahit pada awalnya. Alhamdulillah, setelah 2o tahun perjalanannya di muka bumi ini, bayak yang dia pelajari terutamanya mengenali sifat dan sikap manusia. Semua yang dia tempuhi banyak mematangkan pemikirannya dan mengubah dirinya. Syukur kepada kerana telah memanjangkan hayatku sehingga kini. Amin…




Selepas makan tengah hari




Ustak dah besar la!!! Abang dah tak larat nak dukung lagi...


RINGKASAN HIDUP ASHRAF AZAHAN




Keluarga besar Haji Azahan dan Hajjah Fatimah


v Dilahirkan di Klinik An-Nisa’, Kota Bharu, Kelantan
v Ayah, Azahan bin Haji Daud dan mama, Fatimah binti Muhammad Nawi
v Anak sulung daripada 9 orang adik beradik

§ Muhammad Aslam, 20
§ Muhammad Aiman, 19
§ Siti Nurul Fatihah, 18
§ Muhammad Azri, 15
§ Muhammad Afiq, 14
§ Siti Nurul Fatini, 12
§ Muhammad Aqmar, 8
§ Muhammad Azfar, 4


v Pendidikan:-

Ø Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI),Ketereh, Kota Bharu, Kelantan, 1997
Ø Tadika Qari, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan, 1998
Ø Sekolah Kebangsaan Kok Lanas, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan, 1999-2001
Ø Sekolah Kebangsaan Tok Jiring, Kuala Terengganu, Terengganu, 2001-2003
Ø Sekolah Kebangsaan Batu 7, Dungun, Terengganu, 2003-2004
Ø Sekolah Menengah Kebangsaan Balai Besar, Dungun, Terenggganu, 2005 (2 minggu)
Ø Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Intan Zaharah, Dungun, Terengganu, 20005-2006
Ø Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 4, Gerik, Perak, 2006-2008
Ø Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu, Kelantan, 2008 (2 bulan)
Ø Sekolah Menengah Kebangsaan Kok Lanas, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan, 2008-2009
Ø Kolej Matrikulasi Selangor, Banting, Selangor, 2010-2011
Ø Universiti Malaysia Pahang, Pekan, Pahang, 2011-sekarang


v Pencapaian:-

Ø 1997- Persembahan Nasyid sempena hari terakhir pengajian

Ø 1998- Persembahan Nasyid sempena hari terakhir pengajian

Ø 2001- Pengawas sekolah

Ø 2002- Pertandingan Bola Tampar peringkat zon Kuala Terengganu
Perak dalam pertandingan lontar peluru

Ø 2003- Johan pertandingan nasyid peringkat zon, daerah dan negeri Terengganu
Pengawas sekolah

Ø 2004- Emas dalam pertandingan lontar peluru peringkat sekolah
Ø Ketiga dalam pertandingan kompang
Ø Saguhati dalam pertandingan bola tampar peringkat daerah Dungun

Ø 2006- Perak dalam pertandingan lempar cakera peringkat sekolah
Pengawas sekolah
Saguhati dalam pertandingan nasyid peringkat daerah Hulu Perak
Saguhati dalam pertandingan bola baling peringkat daerah Hulu Perak
Saguhati dalam pertandingan fail tegak peringkat sekolah
Anugerah antara murid terbaik tingkatan dua
Ketiga dalam pertandingan reka cipta peringkat sekolah
Kedua dalam pertandingan menulis esei peringkat sekolah
Peserta tadarus al-qur’an 1427 H / 2006
Ketiga persembahan kebudayaan hari kokurikulum peringkat sekolah
Gangsa dalam program NILAM peringkat sekolah

Ø 2007- Pengerusi kelab komputer
Pengawas sekolah
Saguhati pertandingan membaca cerpen peringkat sekolah
Anugerah antara murid terbaik tingkatan 3
Saguhati dalam pertandingan pesta pantun peringkat daerah Hulu Perak
Speaker Dewan dalam pertandingan bahas ala parlimen peringkat daerah Hulu Perak
Anugerah laporan terbaik sempena kem kepimpinan pelajar 2007
Ketiga dalam pertandingan mengarang sinopsis peringkat sekolah
Peserta tadarus al-qur’an 1428 H / 2007
Ajk tingkatan 4 kelab computer
Award of the school based assessment of science practical work

Ø 2008- Peserta kursus penulisan kreatif dan penerapan nilai murni remaja

Ø 2009- Pengerusi kelab komputer
Pengawas pusat sumber sekolah
Peserta pertandingan menulis esei sains dan teknologi peringkat negeri Kelantan
Emas dalam program NILAM peringkat sekolah

Ø 2010- Peserta kursus Share n Care peringkat kolej matrikulasi
Fasilitator program kecemerlangan kimia “ Peer Group Mentoring (PGM)” peringkat kolej matrikulasi
Peserta kursus kepimpinan dan pemantapan kemahiran dalam kumpulan peringkat kolej matrikulasi
Peserta pertandingan nasyid peringkat kolej matrikulasi
Ajk pertandingan pantun carnival kebudayaan dan perpaduan peringkat kolej matrikulasi
Ahli lajnah penerbitan dan penyiaran ISIMAS

Ø 2012- Fasilitator program perkampungan menara gading 2012 peringkat negeri Kelantan





In Memory

Segala apa yang dikongsikan ini dapat memberi manfaat kepada semua. Insya Allah

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...