Sunday, February 26, 2012

NIKMATNYA WUDHUK

Alhamdulillah. Syukur kepada pencipta kita Allah SWT kerana masih memberi peluang dan ruang kepada kita untuk beramal di atas bumi yang sementara ini. Tidak lupa juga ucapan selawat kepada kekasih-Nya, Nabi Muhammad SAW. Kali ini saya ingin berkongsi sedikit tentang berwudhuk. Berwudhuk adalah satu perkara sunat tetapi apabila hendak melaksanakan solat maka hukum berwudhuk berubah menjadi wajib. Tanpa wudhuk solat Tidak Sah maka sia-sia sahajalah amalan kita. Mari kita perhatikan apa kelebihan-kelebihan berwudhuk dari sudut kesihatan:-

BERKUMUR: Kuman akan membiak dengan pantas jika terdapat sisa makanan di dalam mulut kita. Kuman tersebut akan membuatkan kerosakan gigi, ulser mulut dan sebagainya. Cara untuk mengatasinya adalah dengan berkumur. Sains telah membuktikan berkumur dapat mencegah mulut dan kerongkong daripada jangkitan kuman dan radang. Bahkan ia mampu membuang sisa makanan di dalam mulut yang boleh merosakkan gigi.

MEMBASUH HIDUNG: Udara kotor yang kita sedut membawa bermacam jenis kuman dan debu. Kuman-kuman ini boleh menyebabkan demam, selsema, batuk, sakit kerongkong dan lebih teruk boleh menyebabkan radang otak. Maka apabila kita membasuh hidung ketika berwudhuk, sudah tentu kita dapat menyucikan rongga hidung dan membuang sebahagian besar kuman tersebut. Bahkan ia boleh mengurangkan risiko terkena penyakit kanser hidung.

MEMBASUH MUKA DAN KEDUA-DUA TANGAN: Bagi kaum lelaki, bahagian muka dan kedua-dua tangan sehingga siku sering terdedah kepada debu dan bakteria ketika mereka keluar rumah kerana bahagian lain tertutup. Maka dengan membasuh muka dan tangan kita dapat membuang sebahagian besar kuman, debu dan peluh yang melekat di permukaan kulit. Selain itu, ia juga menyingkirkan bahan berlemak yang terdapat pada peluh yang menyebabkan pertumbuhan bakteria pada permukaan kulit.

MEMBASUH KEDUA-DUA KAKI: Kaki merupakan organ yang sentiasa terdedah kepada kotoran ketika berjalan. Segala debu, pasir dan cecair yang akan melekat pada kaki ketika berjalan. Maka, berwudhuklah jalan penyelesaiannya kerana kita membasuh kaki banyak kali dalam sehari ketika berwudhuk.

KELEBIHAN-KELEBIHAN LAIN: Kajian saintifik menunjukkan aliran darah di bahagian tangan sehingga siku dan kaki adalah lemah berbanding aliran darah pada organ-organ lain. Maka dengan membasuh anggota-anggota badan tersebut sambil menggosok-gosoknya pada setiap kali berwudhuk dapat membantu meningkatkan pengaliran darah kepada bahagian-bahagian tersebut dan seterusnya dapat meningkatkan fungsi serta aktivitinya untuk kerja seharian.

Sains juga telah membuktikan kesan sinaran cahaya matahari terutamanya sinaran ultra violet yang boleh menyebabkan penyakit kanser kulit. Kesan cahaya matahari pada permukaan kulit yang terdedah dapat dikurangkan dengan membasuh bahagian tersebut kerana air dapat melindungi kesan-kesan bahaya sinaran matahari pada permukaan luar dan dalamnya.

Wudhuk dapat menyucikan diri daripada kesalahan dosa di samping membersihkan anggota-anggota badan. Ketika membasuh anggota-anggota wudhuk maka keluar dan terhapuslah dosa-dosa yang dilakukan oleh setiap anggota.

Hal ini dijelaskan oleh hadith:

Yang bermaksud: “Sesiapa yang berwudhuk dan menyempurnakannya dengan baik maka keluarlah segala dosa-dosa dari tubuh hingga ke bawah kukunya.” (Hadith Riwayat Muslim)

Perkara ini disebut oleh hadith yang bermaksud:

Apabila seorang Muslim lagi Mukmin berwudhuk, maka apabila membasuh mukanya nescaya keluarlah segala dosa yang dilakukan oleh matanya bersama air atau titisan air wudhuknya yang terakhir. Apabila dia membasuh kedua tangannya terhapuslah segala dosa yang dilakukan oleh tangannya bersama air atau titisan air wudhuknya yang terakhir. Apabila dia membasuh kedua kakinya lalu gugurlah segala dosa yang dilakukan oleh kakinya bersama air atau titisan air wudhuknya yang terakhir, sehingga sucilah dari segala dosa-dosa.”. (Hadith Riwayat Muslim)

Sesiapa yang hendak berwudhuk terlebih dahulu hendaklah dia berkumur-kumur dan menyedut air ke hidungnya lalu menghamburkannya keluar, maka keluarlah bersama air itu dosa-dosa daripada wajah, mulut, dan hidungnya. Apabila dia membasuh mukanya seperti yang diperintahkan Allah, maka keluarlah dosa-dosa daripada mukanya hingga ke hujung janggutnya. Apabila dia membasuh kedua tangan hingga ke siku maka gugurlah dosa-dosanya hingga ke hujung jari. Apabila dia menyapu kepala, lalu gugurlah dosa-dosanya hingga ke hujung rambut. Apabila dia membasuh kedua kakinya maka gugurlah dosa-dosa kaki hingga ke hujung jari kakinya. Apabila dia berdiri untuk bersolat kemudian memuji, mengagungkan Allah dengan selayaknya serta mengikhlaskan hati kepada Allah maka gugurlah segala dosa-dosanya seperti keadaan seorang kanak-kanak yang baru dilahirkan oleh ibunya.” (Hadith Riwayat Muslim)

Berwudhuk dapat mengatasi perkara yang dibenci di samping meningkatkan darjat.

Perkara ini disebut oleh hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

Mahukah kamu jika aku tunjukkan sesuatu yang boleh menghapuskan dosa-dosa kamu dan meningkatkan darjat kamu?” Para sahabat menjawab: “Mahu wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Menyempurnakan wudhuk serta menjauhi perkara yang dibenci dan memperbanyakkan langkah ke masjid-masjid dan menunggu masa solat berikutnya setelah mengerjakan solat sebelumnya. Oleh itu hal yang sedemikian adalah benteng bagi kamu. Oleh itu hal yang sedemikian adalah benteng bagi kamu.” (Rasulullah s.a.w mengucapkan ayat ini sebanyak dua kali). (Hadith Riwayat Muslim)

3. Membaca syahadah selepas berwudhuk merupakan sebab untuk masuk ke syurga.

Semoga apa yang dikongsi ini, dapat meningkatkan lagi semangat kita dalam mencintai-Nya. Ambillah iktibar dan manfaat dan sebolehnya kita sampaikan kepada sahabat-sahabat kita yang lain. Semoga kita sama-sama merasai rahmat Allah SWT. Insya Allah.

http://malakian.blogsome.com/2006/02/03/kemuliaan-dan-kelebihan-wudhuk/

http://wafazinnirah92.blogspot.com/2012/01/berwudhuk-untuk-sihat.html

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...