Tuesday, February 14, 2012

KEMUNCAK MENARA 12


Alhamdulillah. Setelah berminggu-minggu berlalu hanya digunakan untuk melakukan persiapan, akhirnya Menara 12 kini berada di puncaknya. Puncak ini ialah merupakan permulaan program Menara 12 yang berlangsung di Kompleks Islam Al-Hikmah, Tanjong Mas, Kota Bharu, Kelantan. Program yang menumpukan kepada pelajar SPM 2012 ini merupakan aktiviti tahunan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang dilaksanakan di setiap negeri di Malaysia.

Pada awalnya kami dikejutkan dengan kehadiran awal peserta dari waktu yang ditetapkan. Ini menyebabkan kami terpaksa bersegera dalam menyiapkan secepat mungkin tugas-tugas yang belum diselesaikan. Peserta yang kebanyakan yang dimonopoli oleh pelajar sekolah agama dan maahad tahfiz seramai 67 orang, 13 orang muslimin dan 54 muslimat.

Antara aktiviti yang menyeronokkan bagi saya ialah Menara Maruah, Xplorace, Pengenalan Universiti dan Bernasyid Bersama Abang-Abang Fasi. Dalam aktiviti Menara Maruah, adik-adik peserta dikehendaki membina menara menggunakan kad sambil diperhatikan oleh semua fasilitator. Sehingga waktu yang ditetapkan, semua fasi akan berubah menjadi ‘pemusnah menara’ dan meraka dikehendaki membina semula menara tersebut sambil mereka diganggu gugat oleh abang dan kakak fasi. Bermulalah suasana yang riuh-rendah. Macam-macam perkara yang telah digunakan oleh adik-adik bagi menghalang semua fasi yang mengganggu. Saya pun tidak terlepas dari menerima ‘sagu hati’ dari aktiviti ini. Kesan yang tercalit di bawah mata ini akan dikenang selalu. Sebenarnya, menara yang telah dibina oleh adik-adik diibaratkan sebagai maruah mereka sendiri. Ketika sesi konklusi, macam-macam ayat yang keluar dari mulut adik-adik ini. ‘Fasi jahat’ antara ayat yang membuatkan semua fasi tergelak.

Dalam aktiviti Xplorace pula, saya ditugaskan untuk menjadi fasi untuk check point yang ke-3. Aktiviti yang baru sahaja diilhamkan oleh saya sendiri ini bernama GPS. Dalam aktiviti ini peserta-peserta dikehendaki memasukkan pen ke dalam botol menggunakan tali sambil menutup mata dan hanya diketuai oleh seorang ketua sebagai pemberi arahan. Pada awalnya, saya menetapkan masa selama 4 minit untuk menyelesaikan aktiviti ini tetapi dua kumpulan telah berjaya menyelesaikannya dalam masa kurang 1 minit. Disebabkan itu, saya telah mengubah peraturan masa kepada 1 minit. Ada juga kumpulan yang gagal dalam aktiviti ini. Bagi yang gagal, abang ucapkan tahniah kerana telah mempersembahkan trademark yang menarik buat abang dan kakak.

Dalam aktiviti pengenalan universiti, saya dikehendaki menyampaikan tentang maklumat tentang matrikulasi. Ini disebabkan saya baru sahaja menyelesaikan pengajiannya pada April tahun lepas. Saya juga mempromosikan sedikit tentang kolej saya, Kolej Matrikulasi Selangor (KMS). Ada juga adik-adik yang tertarik dengan program matrikulasi ini. Kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran dalam program ini, semoga berjaya abang ucapkan. Semoga adik-adik dapat mencapai kejayaan dalam program ini.













Aktiviti Bernasyid bersama Abang-Abang Fasi adalah aktiviti yang dijalankan secara spontan yakni aktiviti yang tiada dalam tentatif. Bermula dengan permintaan seorang muslimat untuk memainkan lagu daripada kumpulan In-Team, Bebas Palestin kerana pada waktu itu merupakan waktu senggang untuk persiapan diri. Ketika ini semua pelajar muslimin tiada dalam dewan. Aktiviti ini secara tidak sengaja dikendali oleh abang-abang fasi termasuklah saya. Bernasyid memang hobi saya. Ada dikalangan muslimat melayan lagu nasyid ini dengan gayanya yang tersendiri. (Dik, walaupun awak duduk di balik tiang tu, abang yang duduk kat depan ni nampak apa yang kamu buat kat situ). Aktiviti ini berlanjutan sehingga kami bersama-sama melakukan senaman otak berpandukan video dalam YouTube. Ada juga yang meminta saya untuk bernasyid selepas persembahan mantap dari Abang Izz dan Abang Afzan. Mungkin ini disebabkan pada awalnya saya dan Abang Izz menyanyikan lagu Bebas Palestin menggunakan mikrofon tanpa bunyi, hanya sekadar gaya sahaja. Apa pun, suasana ini amat menyeronokkan saya.

Apa yang membuatkan saya cemburu kepada muslimat ialah sifat ukhwah diantara mereka terutamanya semasa menjamu selera. Saya pernah terfikir, mengapa suasana itu tidak saya hayati dalam peserta lelaki sedangkan kami juga berada dalam satu kumpulan? Mungkin itulah kelebihan muslimat yang sukar dicapai oleh muslimin. Satu lagi yang menyebabkan saya terharu dengan muslimat ketika saya memohon maaf atas kelewatan menjalankan aktiviti qiamullail. Mungkin disebabkan faktor kesihatan pada malam itu dan ada perkara yang belum diselesaikan menyebabkan saya dan peserta muslimin terlewat bangun. Saya meminta mereka untuk memberi apa sahaja denda kepada saya tetapi mereka sebulat suara mengatakan ‘tak apa’ walaupun pada awalnya saya ada terdengar perkataan pumping yang keluar dari mulut salah seorang dari mereka. Saya juga melihat sahabat kepada muslimat tersebut menghalangnya. Itulah saya. Bagi saya, saya berhak meminta hukuman atas kesilapan yang saya lakukan. Peristiwa pada pagi itu benar-benar mengharukan hati saya. Semoga Allah merahmati adik-adik sekalian.

Itulah sedikit sebanyak yang dapat saya kongsikan bersama anda semua. Semoga kita dapat memanfaatkan sesuatu apa yang kita dapat melalui penulisan ini. Apa yang baik itu datangnya dari Allah dan kurang itu datangnya dari diri saya sendiri. Saya memohon maaf sekiranya terdapat kesilapan sepanjang penulisan saya ini. Semoga kita dapat bertemu lagi pada masa akan datang. Insya Allah.







video

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...