Wednesday, August 17, 2011

PERJALANAN PERTAMA PULANG DARI PERANTAUAN SEMPENA AIDILFITRI

Hajatnya, selepas selesai menulis utusan kad aidilfitri, ingin melepaskan kepenatan yang tergalas ini. Tetapi datang semangat untuk menceritakan pengalaman pulang dari perantauan sempena menyambut aidilfitri (2010/1431H). Perjalanan yang jauh ini akan memakan masa antara 5 hingga 6 jam dari Klang Sentral ke negeri kelahiran kami, Negeri Cik Siti Wan Kembang atau lebih sinonim dengan Kelantan.


Selesai sahaja solat asar, saya bersama teman saya yang lain memulakan perjalanan dari Kolej Matrikulasi Selangor (KMS) dengan menaiki teksi ke pekan Banting. Saya tidak pasti mengapa saya seorang berjantina lelaki dalam kelompok ini. Alhamdulillah, setibanya di pekan banting, saya telah berjumpa dengan beberapa teman yang sejantina dengan saya.




Perjalanan kami diteruskan dengan menaiki bas henti-henti, CityLiner yang akan membawa kami ke Klang Parade. Inilah perjalanan saya yang pertama ke sana. Kami tiba agak lewat di sana kerana kesesakan jalan raya yang agak teruk sepanjang perjalanan. Kami berbuka puasa dahulu dengan beberapa teguk air. Seingat saya di sinilah tempat pelepasan kami, rupanya tidak. Kami perlu mencari bas atau teksi untuk menyambung perjalanan kami ke Klang Sentral. Alhamdulillah, dengan tambang cuma RM1, kami meneruskan perjalanan dengan menaiki bas.

Di dalam bas, saya ditakdirkan duduk dengan seorang bekas tentera. Biasalah, apabila tentera bercakap, semua penumpang dalam boleh dengar. Yang tidak diduga oleh saya ketika dia bercakap dengan isteri dengan menggunakan telefon bimbit. (YANG!!! AWAK KAT MANE??? SAYA TAK TAU BAS NI PEGI MANE. APE??? GIANT??? OK,AWAK TUNGGU SAYA KAT SANE). Boleh tahan juga romantik pak cik tentera ini. Lepas saja dia memadamkan telefon, terus dia bertanya kepada saya, (GIANT KAT MANE???). Dengan reaksi muka seperti kanak-kanak tersesat, saya pun membalas, (SAYA TAK TAU PAK CIK, INI FIRST TIME SAYA NAIK BAS NI). Selepas itu, bermulalah cerita pak cik tentera ini tentang kisah perkhidmatan dia di TUDM Banting. Dalam perjalanan selama 15 hingga 20 minit, bas kami pun berhenti di Klang Sentral. Kami juga telah bertemu dengan teman-teman kami yang lain.



Sebaik sahaja melangkah ke stesen ini, saya terus mencari surau untuk menuanikan solat fardhu maghrib dan menjamak solat fardhu isyak. Selesai solat saya pergi membeli sedikit makanan dan minuman di gerai wanita Melayu dan lelaki Indonesia. Sebaik meletak beg, saya terus menjamah makanan dan minuman tadi. Alhamdulillah, nikmat yang tidak terbayang apabila perut di isi setelah seharian terpaksa menempuh perjalanan dalam keadaan berpuasa.


Sementara menunggu bas tiba, saya tidak mahu melepaskan peluang kerahmatan dalam bulan yang suci ini dengan begitu sahaja. Saya mengambil naskah al-qur'an, lalu membacanya. Hal ini telah menjadi satu sejarah bagi saya kerana sebelum ini belumpernah lagi membaca kitab suci berhampiran orang ramai. Perjalanan kami dijadualkan bermula pada pukul 9.30 malam. Beberpa minit kemudian konduktor stesen mengumumkan bas kami akan tiba lewat. Kami terpaksa bersabar dalam hal ini. Bukan kami sahaja, malah ramai lagi penumpang-penumpang yang berada di stesen ini. Kebosanan kami sedikit terubat apabila bertemu dengan bekas kaunselor KMS (dah lupe name die). Dia ke sini kerana ingin menghantar anaknya. Saya hanya berdiam diri disepanjang penantian ini.


Jam menunjukkan hampir pukul 10 malam, bas tambahan oleh syarikat Konsortium telah pun tiba. Kami terus megambil beg masing-masing. Selepas menunjukkan tiket, kami mencari tempat duduk. hampir semua tempat sudah di isi. Sementara menunggu semua penumpang mengambil tempat, saya merehatkan diri sambil melihat bas di sebelah melalui tingkap bas. Bas tersebut akan turut serta dalam perjalanan kami nanti. Saya melihat seorang teman saya, seorang wanita masih lagi berdiri di tengah di dalam bas. Dia melihat disekelilingnya berulang-ulang kali untuk mencari tempat duduk. Sudah tiada tempat duduk kecuali tempat duduk disebelah saya. Dia meminta izin daripada saya untuk duduk di situ. Saya mula berasa sedikit gementar. Perjalanan ini sangat jauh, ditambah lagi dengan suasana malam pada ketika ini. Mungkin ini tidak akan memberi keselesaan kepada saya untuk merehatkan diri.


Kerana begitu darurat, saya membenarkan dia duduk di sebelah saya. Saya ingat ini sudah selesai,rupanya tidak. Seorang lelaki yang juga teman satu kolej dengan saya mengejek kami secara terbuka di dalam bas tersebut. Ini telah menimbulkan ketidakselesaan kepada teman saya ini. Dia juga cuba mempertahankan dirinya. Alangkah bisa lisan seseorang itu sehingga dapat merenyukkan hati seseorang. Akhirnya, teman saya ini nekad pergi bertemu dengan konduktor bas untuk melakukan pertukaran bas. Saya tidak berbuat apa-apa kerana itu keputusan dirinya sendiri. Saya melihat dia melangkah ke bas yang berada di sebelah bas kami. Oleh kerana saya kurang jelas untuk melihatnya, saya menghubunginya. Alhamdulillah, dia mendapat tempat duduk yang sesuai di mana pasangannya juga merupakan seorang wanita.


Pada malam itu, saya bertuah kerana mendapat dua kerusi untuk diri saya sendiri. Kami bertolak dari Klang Sentral hamper pukul 10.30 malam. Sepanjang perjalanan itu, saya cuba untuk mengisi masa yang ada dengan berzikir. Setelah terlelap beberapa kali, bas kami berhenti di Gua Musang. Jam menunjukkan pukul 4 pagi. Saya mengambil peluang ini untuk ke tandas dan minum teh panas. Satu jam kemudian, perjalanan kami bersambung. Kali ini saya tidak lagi keseorangan, seorang teman saya dating menemani saya. Beberapa minit perjalanan, saya berasa tidak enak badan. Saya terasa ingin membuang air sekali lagi. Ini menjadi derita kepada saya kerana pemandu bas bukan sahaja tidak berhenti malah mengutuk saya. Apakah ini layanan yang patut saya terima pada ketika ini. Saya terpaksa menahan kesakitan ini selama hampir satu jam.


Sebaik sahaja bas berhenti, saya terus melepaskan hajat saya. Pemandu bas tersebut membunyikan hon untuk memanggil saya. Saya tidak mempedulikannya kerana pada ketika itu, azan subuh sedang dikumandang. Seingat saya mereka semua akan turun untuk menunaikan solat subuh. Ternyata ia meleset sama sekali kerana pemandu bas tersebut ingin meneruskan perjalanan kami. Saya menganggap kami akan berhenti di tempat yang lain unutuk solat subuh.



Jam menunjukkan pukul 6.30 pagi, bas itu belum lagi berhenti untuk memberi laluan kepada kami untuk solat. Saya berdoa agar kami cepat-cepat menemukan tempat itu kerana waktu syuruk sudah hampir. Pukul 7 pagi, baru kami menemukan tempat untuk bersolat. Hanya beberapa minit lagi sebelum waktu syuruk. Saya terus bergegas mengambil wudhuk lalu solat. Selesai solat, saya terus menaiki bas untuk memberi peluang kepada penumpang lain utuk solatkerana tempat itu begitu kecil, tidak dapat menampung bilangan penumpang yang ada. Sebaik saya duduk di tempat, saya merasa ketenangan yang amat. Beberapa minit kemudian, saya baru terfikir, adakah pemandu bas itu sudah atau belum. Saya bertanya kepada teman saya. Dia tidak sapat menjawab. Perjalanan kami diteruskan. Saya membuka komputer riba untuk melihat filem yang ada.

Pukul 8.30 pagi, baru bas kami tiba di Machang. Sebelum itu, bas ini sudah berhenti beberapa kali untuk menurunkan penumpang. Saya menunggu ayah saya di hadapan Bank Islam Malaysia Berhad. Saya berasa amat lega apabila saya dijemput oleh ayah dan beberapa orang adik saya.

Inilah perjalanan yang paling berbadai yang pernah saya lalui. Tambahan pula di dalam bulan puasa. Memang menguji kesabaran dan keimanan. Sekian…

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...