Sunday, July 31, 2011

TIKA RAMADHAN BEROMBAK TENANG


Syukur ke hadrat Allah SWT dan selawat ke atas junjungan besar Rasulullah SAW. Alhamdulillah sekali lagi kita diberi kesempatan untuk bertemu dengan ramadhan pada tahun ini, 1432 H. Setiap tahun, ramadhan disambut dengan penuh kegembiraan dan ketenangan sama ada di bandar besar mahupun di desa kampung. Terlebih dahulu ucapan takziahkepada keluarga dan teman yang kehilangan saudara terdekat sebelum tibanya bulan yang penuh kemuliaan ini. Semoga kalian tabah menghadapi ujian ini. Ujian ini adalah musibah yang mulia bagi mendekatkan diri kepadaNya dan waktu kematian memang benar-benar wujud.


Menjelangnya senja 1 ramadhan, ketenangan bulan ini telah dirasai oleh seluruh umat dan makhluk di atas bumi yang tercinta ini. Pada saat ini juga, semua syaitan telah digari bagi memberi keselesaan kepada seluruh umat Nabi Muhammad SAW untuk menghambakan diri kepada Pencipta mereka. Pahala juga dilipatgandakan pada bulan ini. Masya Allah. Beruntunglah bagi sesiapa yang berusaha mengerjakannya. Insya Allah, kita juga akan tergolong dalam golongan ini.



Semangat untuk beribadat semakin memuncak apabila melihat ramai hamba Allah berpusu-pusu ke rumahNya. Suasana ramadhan memang menakjubkan. Bulan ini berjaya merapatkan lagi hubungan silaturrahim semua umat Islam. Pertemuan yang jarang berlaku disekeliling kita ini, dapat diwujud dalam bulan ini. Subhanallah. Kegembiraan untuk beribadat dapat dirasai apabila jemaah mula mengisi setiap sudut di masjid. Ketenangan beribadat secara beramai-ramai ini dapat meningkatkan lagi rasa kusyuk di dalam solat. Semangat beribadat ini mula bercambah sedikit demi sedikit. Bahkan sehingga terdetik di hati satu kerugian yang besar bagi yang tidak beramal pada bulan yang penuh barakah ini. Perlumbaan ini juga dapat meningkatkan lagi keimanan seseorang di samping mendekatkan diri kepada Ilahi melalui bacaan Al-Qur'an, solat sunat tarawih, tahajud dan zikrullah.


Dalam keghairahan ini juga, terdapat golongan yang sedikit gelisah dengan ketibaan ramadhan. Mereka adalah golongan kanak-kanak yang pertama kali menjalani kewajiban ini. Mereka boleh membayangkan keletihan yang bakal mereka tempuhi tanpa makan dan minum. Ada juga yang berfikir bahawa mereka tidak perlu ke sekolah sekiranya bulan puasa ini tiba. Malah ada juga yang menyatakan bahawa sekolah akan bercuti sebulan kerana bulan itu bulan puasa. Dengan kebijaksanaan dan semangat daripada ibu bapa mereka, mereka bertambah yakin dengan dugaan ini. Nasihat dan ganjaran yang akan diberikan pada hari raya nanti, sedikit sebanyak telah meningkatkan semangat mereka untuk menjalani ibadat puasa.


Oleh itu, bersama-samalah kita menyemarakkan semangat ramadhan ini untuk meraih pahala sebanyak mungkin. Ini juga merupakan praktis kita untuk istiqamah melaksanakan ibadat wajib dan sunat apabila ramadhan melabuhkan tirainya nanti. Kejarlah lailatulqadar yang mana ia merupakan malam yang penuh keberkatan dan pahalanya bersamaan dengan pahala seribu bulan ibadah. Insya Allah.. Wallahu'alam..

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...