Thursday, June 9, 2011

MUHASABAH DIRI

Kita sebenarnya berasal dari keturunan yang sama yang mana kita merupakan cucu kepada Nabi Adam a.s dan Hawa. Manusia akan hidup apabila roh masuk ke dalam jasad. Sebenarnya jasad merupakan tempat menumpangnya roh selepas melepasi alam ghaib dan alam rahim.

Sebaik sahaja seseorang itu lahir ke dunia, dia telah mempunyai satu misi yang besar yang mana dia perlu menghadapi dugaan di dunia sebelum menjejak ke alam kubur. Kita sebenarnya peminjam atau penyewa di atas muka bumi ini. Bumi ini bukanlah hak mutlak manusia sebagai mana yang kita ketahui. Kita di muka bumi ini diuji oleh Allah SWT untuk melihat sejauh mana kasih kita kepada-Nya.

Kenikmatan dunia yang kita kecapi selama ini hanya merupakan kenikmatan yang sementara yang dikurniakan kepada kita semua. Bagi menghadapi dugaan dan cabaran di dunia ini, Allah SWT telah memberikan panduan kepada kita iaitu Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW sebagai medium rujukan yang utama. Terdapat banyak perintah dan larangan Allah SWT yang diturunkan bagi mengetahui siapa sebenarnya yang lebih mengasihi-Nya.

Islam merupakan agama yang paling sempurna dan terbaik di kalangan semua agama-agama yang ada di dunia ini. Islam tidak mengajar kita perbezaan antara manusia di muka bumi ini,semuanya sama disisi Islam. Kita hendaklah bersyukur dengan kenikmatan Islam yang kita kecapi tanpa kita ingini. Islam telah menggariskan lima perkara yang wajib dilaksanakan oleh semua umatnya. Antaranya, mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan solat lima waktu sehari semalam, berpuasa di bulan ramadhan, membayar zakat dan menunaikan ibadat haji bagi yang mampu.



Rugilah bagi kita yang tidak melaksanakan segala suruhan yang telah diperintahkan oleh Pencipta kita. Contohnya,seorang pemuda telah memasuki sebuah teksi untuk menuju ke destinasinya. Pemuda itu dilayan baik oleh pemandu teksi tersebut. Malangnya, sepanjang perjalanan tersebut, pemuda tersebut sentiasa merengek tentang teksi yang dinaikinya. Memaki hamun pemandu teksi kerana tidak mengurangkan suhu penghawa dingin kereta. Lebih dari itu, pemandu itu merokok di dalam teksi dengan selambanya. Kadang-kadang meludah ke luar tingkap dengan sesuka hati dan membuang sampah di dalam teksi.

Sekiranya anda pemandu teksi tersebut, apakah perasaan anda? Marah? Menyampah? Sakit hati? Kecil hati? Begitulah perumpamaan yang dapat digambarkan dalam kehidupan kita. Kita sudah tahu, bumi ini adalah hak milik Allah SWT, mengapakah kita hendak melanggar perintah-Nya dengan sewenang-wenangnya? Kita sendiri tahu atau kita sendiri dapat menganggap sekiranya Allah SWT murka ke atas kita, apakah yang akan terjadi kepada kita. Kita sendiri memerlukan-Nya apabila kita ditimpa musibah atau cabaran hidup.

Sama-samalah kita fikir dan muhasabah diri kita. Siapakah kita di bumi? Apakah tujuan kita berada di sini? Mengapakah perlu kita berada di sini? Moga-moga apa yang kita fikirkan itu, dapat mendekatkan diri kita kepada Maha Esa. Insya Allah.

Wassalam...

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...